Monday, June 02, 2014

Halal

Kita ikuti kisah ahli ibadah yang zuhud bernama Ibrahim bin Adham, yang begitu teliti menjaga pemakanannnya. Selesai menunaikan ibadah haji, Ibrahim bin Adham berniat menziarah ke Masjid al-Aqsa. Bagi bekal di perjalanan, beliau membeli 1 kg kurma dari pedagang tua dekat Masjid al-Haram. Setelah kurma ditimbang dan dibungkus, Ibrahim melihat sebutir kurma bergolek dekat timbangan. Menyangka kurma itu sebahagian dari yang telah dia beli, Ibrahim pun memakannya. Setelah itu dia berangkat menuju AlAqsa.

Empat bulan kemudian, Ibrahim tiba di Al Aqsa. Seperti biasa, dia suka memilih sebuah tempat beribadah pada sebuah ruangan di bawah kubah Sakhra. Dia solat dan berdoa khusyuk sekali. Tiba-tiba dia mendengar percakapan dua malaikat tentang dirinya, "Itu Ibrahim bin Adham, ahli ibadah yang zuhud dan wara' yang doanya selalu dikabulkan Allah SWT, kata malaikat yang satu. Tetapi sekarang tidak lagi. Doanya ditolak kerana empat bulan yang lalu dia memakan sebutir kurma yang jatuh dari meja seorang pedagang tua dekat Masjid al- Haram," jawab malaikat yang satu lagi.

Ibrahim bin Adham terkejut sekali, jadi selama empat bulan ini ibadahnya, solatnya, doanya dan mungkin amalan-amalan lainnya tidak diterima oleh Allah SWT gara-gara memakan sebutir kurma yang bukan haknya. Ibrahim beristigfar langsung berkemas untuk berangkat lagi ke Mekah menemui pedagang tua penjual kurma untuk meminta dihalalkan sebutir kurma yang telah ditelannya.

Sampai di Mekah dia terus menuju tempat penjual kurma itu tetapi tidak bertemu dengan pedagang tua itu melainkan seorang anak muda. "Empat bulan yang lalu saya membeli kurma di sini dari seorang pedagang tua, kemana dia sekarang?" tanya Ibrahim. "Sudah meninggal dunia sebulan yang lalu, saya sekarang meneruskan pekerjaannya berdagang kurma", jawab anak muda itu. Ibrahim kemudian menceritakan peristiwa yang dialaminya kepada anak muda itu.

Ibrahim pun bertanya, "Engkau sebagai ahli waris orang tua itu, mahukah kau menghalalkan sebutir kurma milik ayahmu yang terlanjur ku makan tanpa izinnya?" "Bagi saya tiada masalah, saya boleh halalkan. Tapi entah dengan saudara-saudara saya yang jumlahnya sebelas orang, saya tidak berani berkata bagi pihak mereka kerana mereka juga memepunyai hak waris sama dengan saya". "Di mana alamat saudara-saudaramu? Biar saya yang temui mereka satu persatu." Setelah menerima alamat, Ibrahim bin Adham pun pergi menemui mereka walaupun jauh, sehingga selesai. Semua setuju menghalalkan sebutir kurma milik ayah mereka yang termakan oleh Ibrahim.

Empat bulan kemudian, Ibrahim bin Adham sudah berada di bawah kubah Sakhra. Tiba-tiba dia mendengar dua malaikat yang dulu bercakap-cakap. "Itulah Ibrahim bin Adham yang doanya tertolak gara-gara makan sebutir kurma milik orang lain." "O tidak..., sekarang doanya sudah makbul, dia telah mendapat halal dari ahli waris pemilik kurma itu. Diri dan jiwa Ibrahim kini telah bersih kembali dari kotoran sebutir kurma yang haram kerana masih milik orang lain. Sekarang dia sudah bebas"




1 comment:

Shamsuddin Yusoff said...

Satu kisah tauladan yg sgt2 baik. Byk yg blh difahami dr kisah diatas